Rakan saya Dr Muhammad Faiz Na’aman menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan Kerajaan PH-BN mahu menyusun semula struktur dan taburan demografi Malaysia dengan bimbingan agensi Singapura. Yang mahu bawa masuk agensi Singapura ialah Menteri PH.

Jika dikaji apa yang PH telah lakukan di Pulau Pinang setelah mereka belajar dari Singapura dan Hong Kong, memang rakyat perlu bimbang kerana kelompok terbesar dalam kerajaan hari ini ialah DAP.

Ambil Pulau Pinang yang ditadbir DAP sebagai contoh. Hari ini milikan tanah Melayu di Timur Laut Pulau Pinang cuma 1.16 peratus, suatu jumlah yang teramat kecil. Daerah Barat Daya Pulau Pinang pula hanya tinggal 15 peratus milikan orang Melayu dan peratusan ini sedang mengecil saban tahun.

Mengikut kajian Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Pulau Pinang pada 2010, 55 peratus daripada hartanah di Pulau Pinang dimiliki orang Cina. Orang Melayu hanya memiliki 27 peratus.

Kita perlukan data terkini untuk 2023 tetapi apa yang jelas ia menunjukkan pemilikan hartanah bumiputera yang jauh terkebelakang sudah sekian lama.

Di peringkat Persekutuan pula, pemilikan hartanah bumiputera adalah kecil. Transaksi rumah kediaman, premis industri dan kompleks komersial yang direkodkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara menunjukkan hanya 36.3 peratus dimiliki Bumiputera.

Apa akan jadi kepada nasib Bumiputera jika acuan HDB Singapura seperti dilakukan oleh DAP yang disokong UMNO Pulau Pinang hari ini diimplimentasikan pula di peringkat Persekutuan di bawah PH-BN?

PH sedang memasang lukah di penggentingan. Rakan-rakan dalam BERSATU sudah sedar dan sudah bangkit. Saya rayu rakyat menyokong usaha kami dalam BERSATU berkaitan isu ini.

Rakyat mesti sedar bahawa UMNO terus diam dan bersujud kepada DAP, walaupun dalam isu besar yang membabitkan pemilikan hartanah Bumiputera seperti ini. UMNO sudah rosak dan mandul setelah bersekedudukan dengan DAP. Sekarang masa untuk rakyat bersama BERSATU dan PN.

DATUK WAN SAIFUL WAN JAN
Ahli Parlimen Tasek Gelugor
Ketua Penerangan BERSATU Malaysia